Tuesday 24 April 2018

Umrah 2018 - Tips dan Perkongsian

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Alhamdulillah, kali ini saya berpeluang lagi untuk menunaikan umrah. Ini adalah kali ke-3 saya berpeluang melawat Tanah Haram, kali pertama pada tahun 1997 dan kali kedua pada tahun 2010. Setiap kali saya datang, banyak betul perubahan di sana. Sebelum ni, saya belum lagi mula menulis blog. So, pengalaman yang saya dapat takde ditulis di mana-mana pun, last-last saya lupa je. So kali ni saya nak tulis, supaya dapat beri manfaat kepada orang lain dan jadi panduan untuk diri saya sendiri di masa akan datang, insyaAllah.


Tanah Haram Makkatul Mukarramah


Tanah Haram merujuk kepada Makkah dan Madinah. Pernah tak korang tertanya-tanya, apa yang haramnya?




Haram dalam Bahasa Arab ada banyak maksud. Yang pertama ejaannya ialah ha-ra-mim (حرم) yang ini maksudnya dilarang, atau larangan. Contohnya, makan lembu yang tidak disembelih adalah haram (dilarang) untuk orang islam. Satu lagi ejaannya ialah ha-ra-alif-mim (حرام), haraam ini maksudnya suci. Jadi Tanah Haram tu maksudnya Tanah Suci.

Semasa berada di Tanah Haram, mutawwif kami berpesan untuk sentiasa menjaga hati dan tingkah laku. Pahala untuk perbuatan baik di sana memang berganda-ganda. Solat di Masjid Nabawi pahalanya 1000 kali ganda, di Masjidil Haram 100,000 kali ganda. Tapi dia berpesan juga, kalau kita berniat nak melakukan kejahatan, dosa sudah jatuh pada kita. Padahal kalau di tempat lain, niat melakukan perbuatan jahat tapi belum buat masih belum jatuh dosanya. Sebab tu lah, kita kena jaga hati juga. Peringatan untuk saya sendiri juga.

Orait, sekarang saya nak masuk bab tips.

Maklumat Am


Arab Saudi ialah negara yang mempunyai empat musim. Tapi sebenarnya ada 2 musim saja lah. Musim panas dan musim sejuk. Dulu tahun 1997 saya pergi semasa musim sejuk iaitu pada bulan 12 sampai awal bulan 1. Boleh tahan sejuk, memang perlu pakai baju sejuk, terutamanya di Madinah. Disebabkan Madinah terletak lebih utara berbanding Makkah, cuaca di sana lebih sejuk. Kali ni saya pergi hujung bulan 4, memang dah nak masuk musim panas dah. Suhu mencecah 34 - 36 darjah celcius di Makkah.

Kat sana cuaca memang kering. Pastikan korang bawa losyen pelembap, tak kira lah musim sejuk atau musim panas. Bibir dan hidung memang selalu berdarah.

Dari segi plug elektrik, kat sana sebenarnya pakai jenis yang 2 pin leper tu. Tapi, kebanyakan hotel ada sediakan plug 3-pin macam yang di Malaysia. Kalau korang duduk hotel mahal, macam Swissotel di Makkah, memang tak perlu risau pasal plug. Tapi masa kami di Madinah kami tinggal di Mukhtara International, kat situ kena pakai adaptor. Jadi nak selamat, bawa saja lah adaptor.

Masjidil Haram dan Masjid Nabawi mendapat pelawat dari berpuluh-puluh negara. Macam-macam penyakit korang boleh dapat dari sana. Jangan lupa kan vaksin ya. Jangan lah tipu demi mengelakkan vaksin. Bahaya tau. Boleh dikatakan setiap orang dalam rombongan kami tu memang selesema dan batuk masa balik ke Malaysia. Setakat viral fever yang biasa kita tak takut sangat. Cuma risau dengan meningitis, pneumonia, atau apa-apa penyakit berjangkit yang merbahaya.

Jangan lupa stand by ubat ya. Betul, kalau ada Visa Umrah, kita boleh dapat rawatan perubatan percuma, even dialysis pun boleh dapat percuma. Tapi, nak menunggu giliran jumpa doktor tu boleh tahan dahsyat. Ada ahli rombongan kami tu kena pergi sampai 3 kali baru dapat jumpa doktor. So, ubat biasa macam ubat demam, selesema, tahan sakit - sila lah bawak stok dari Malaysia.


Solat jenazah 


Sebelum datang ke tanah suci, lengkapkan diri dengan ilmu. Selain belajar tentang umrah, belajar juga cara solat jenazah, sebab di sana boleh dikatakan setiap kali selepas solat fardhu pasti ada jenazah yang akan disembahyangkan. Fadhilat solat jenazah itu besar.

Cara nak solat jenazah mudah saja. Ada 4 takbir, tapi tiada rukuk atau sujud. Semuanya dilakukan secara berdiri. Selepas takbir pertama, baca Surah Al-Fatihah. Lepas takbir kedua baca selawat. Lepas takbir ketiga kita doakan jenazah. Lepas takbir keempat kita salam.

Doa solat jenazah ada yang panjang, tapi saya hafal yang pendek sahaja: "Allahummaghfirlahu, warhamhu, wa'afihi, wa'fu'anhu." Maksudnya: "Ya Allah ampunilah dia, dan rahmatilah dia, dan kasihanilah dia dan ampunkanlah kesalahannya."

Dalam Bahasa Arab, "-hu" merujuk kepada dia lelaki (seorang). Untuk perempuan (seorang), gantikan dengan "-ha". Untuk 2 orang gantikan dengan "-huma", dan kalau ramai gantikan dengan "-hum". Contoh, kalau ada ramai jenazah: "Allahummaghfirlahum, warhamhum, wa'afihi, wa'fu'anhum.

Sebelum solat jenazah, diorang akan umumkan dulu: "Salatul 'alal amwaat….athabakumullah." Kalau dia cakap macam ni maksudnya ada ramai jenazah, 3 dan lebih. Kalau budak dia akan sebut "tifli". 

Sujud sajadah


Setiap hari jumaat semasa Solat Subuh imam biasanya akan membaca surah Sajadah. Dalam ayat ke-15 Surah Sajadah, kita digalakkan untuk sujud Sajadah. Biasanya ayat ni akan dibaca semasa rakaat pertama.


Surah Sajadah, Ayat 15


Jadi sebaik sahaja imam habis membaca ayat tu dan bertakbir "Allahu akbar", kita perlu terus sujud. Bukan rukuk ya. Betapa ramainya jemaah yang tak tahu dan rukuk instead of sujud. Kalau rukuk, dikhuatiri solat jemaah terbatal sebab tak mengikut imam. So, kalau korang sedar dah tersilap rukuk, saya suggest untuk henti kan solat tu dan mula solat balik. Masih ada masa untuk baca Fatihah semula sebab surah tu agak panjang.


Raudhah


Apa itu Raudhah? Raudhah ialah taman syurga. Kawasan Raudhah di Masjid Nabawi merujuk kepada kawasan di antara kubah putih masjid Nabawi (yang menandakan mimbar masjid nabawi) dan kubah hijau (yang menandakan lokasi maqam Rasulullah s.a.w). Semasa zaman Rasulullah, Masjid Nabawi ni kecik je, dan rumah Rasulullah s.a.w terletak betul-betul sebelah masjid. Raudhah ialah kawasan di antara rumah Rasulullah s.a.w dan Masjid Nabawi. 

Sekarang, tempat yang dahulunya adalah rumah Rasulullah s.a.w dijadikan maqam Rasulullah s.a.w.
Selain maqam baginda, di kawasan ini juga terletak maqam Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, serta Saidatina Fatimah. Kawasan ni doanya mustajab, jadi ramai orang berpusu-pusu mahu masuk ke kawasan ni. Sunat untuk kita melakukan solat sunat seperti solat sunat mutlak, dan jangan lupa sampaikan salam kepada Rasulullah s.a.w.


Raudhah - kawasan lelaki


Masa masuk ke kawasan ini adalah 24 jam untuk lelaki, tetapi dihadkan untuk kaum wanita. Perempuan hanya boleh melawat Raudhah selepas solat Subuh, selepas Zuhur dan selepas Isya'. Waktu melawat untuk perempuan: 


  • Pagi: 7am - 11.30am
  • Tengahari: 1am - 3pm
  • Malam: 7pm - 12am

Untuk perempuan, pintu ke Raudhah adalah melalui gate no 25. Jalan je straight dan pada waktu-waktu yang dibenarkan masuk Raudhah, dinding kayu akan dibuka supaya boleh jalan ke arah Raudhah merentasi kawasan solat jemaah lelaki. Lepas tu korang akan sampai ke satu kawasan untuk menunggu giliran. Biasanya petugas akan habiskan golongan orang berbadan besar dulu, macam orang arab/india/turki/afrika. Diorang ni ada yang jenis suka tolak menolak. So, orang kecik-kecik macam kita ni diorang tak kasi bercampur dengan orang berbadan besar yang agresif.

Cara untuk tahu kita dah sampai Raudhah senang je, tengok karpet berwarna hijau. Kawasan lain di Masjid Nabawi karpetnya berwarna merah, hanya di Raudhah sahaja karpet warna hijau.

Karpet hijau Masjidil Haram. Di Raudhah ala-ala beginilah warnanya

Alhamdulillah kali ini saya dapat ke Raudhah 2 kali. Sekali pada waktu malam selepas Isya', dalam jam 9.30pm. Yang ni kami pergi dengan mutawwifah. Dia bawa kami ikut jalan short cut. Huhu. Masuk melalui pintu keluar. Jadi terus dapat sampai ke Raudhah, tak sampai 10 minit pun. Mutawwifah kami tu nampak macam kenal dengan petugas di Raudhah, sebab diorang tak halang pun bila dia bawa kami masuk Raudhah ikut jalan keluar menentang arus. 

Kami pergi beramai-ramai, dalam 9 orang semuanya. Kami buat 'human fence' di sekeliling rakan kami yang nak solat, dan bergilir-gilir untuk solat. Mula-mula solat sunat mutlak, lepas tu solat sunat taubat dan solat sunat hajat.

Kali kedua saya pergi seorang. Lepas Subuh saya stay di dalam masjid sampai jam 7am. Saya ikut pintu keluar short-cut tu juga, sebab masa tu saya cuma tahu kewujudan pintu tu dan tak tahu pintu tu sebenarnya pintu keluar. 

Masa tu ada seorang petugas yang jaga di situ. Sebelum jam 7am, saya ada nampak insan-insan yang cuba curi masuk bila petugas tak sedar. Rasa kesian pun ada pada petugas tu. Penat dia halang, nak jugak diorang masuk. Belum pun jam 7am, pintu tu dah dibukak oleh insan yang cuba curi masuk. Tapi saya skema, duduk je menunggu kat tepi pintu tu walaupun dah terbuka. 

Lepas jam 7am, petugas tu datang balik, saya minta kebenaran untuk masuk. Dia pun bagi je. Jadi saya pun tertanya-tanya juga, sebenarnya boleh ke tak masuk Raudhah ikut pintu keluar tu. Kalau tak boleh, mesti petugas tu dah halang saya kan. Masa saya masuk tu, dah ada dalam 20 orang yang berjalan keluar. Saya rasa mungkin diorang dapat masuk sebelum jam 7am lagi, sebab dalam 6.30am saya dah dengar suara orang riuh rendah macam tengah berasak-asak.


Masa saya  pergi tu, saya ada jumpa satu spot kosong untuk solat. Saya pun dah excited, baru je niat, tiba-tiba ada orang datang terus tolak saya ke tepi. Pastu orang lain datang lagi dan tolak orang yang tolak saya tu untuk dapatkan spot tu. Memang agresif. Nak beribadah pun tak khusyuk sebab diorang dah 'mengganas' macam apa je.

Walaupun ada ramai insan yang ganas, ada juga insan yang baik hati. Masa saya pergi sorang tu, ada 2 orang perempuan dari tak tahu lah negara Turki atau Arab yang kulit putih2 tu, diorang offer untuk tolong jadi guard masa saya solat. Mungkin diorang kesian tengok saya sorang-sorang macam hilang arah. Lol. Diorang sangat baik, rasa berterima kasih sangat kat diorang. Sorang tu siap peluk cium saya lagi. 

Kalau masuk Raudhah ikut pintu keluar, memang korang akan sampai terus ke kawasan karpet hijau di Raudhah. Tak payah tunggu berjam-jam. Kalau masuk ikut pintu 25 tu, ada yang tunggu giliran sampai 2 jam. Generally, petugas di sana akan kasi orang Arab, South Asian, Turki, Afrika yang badan-badan besar tu masuk dulu. Diorang ni ramai yang agresif dan suka bertolak-tolakan. So, orang Asia Tenggara macam Malaysia dan Indonesia sure akan kalah dengan diorang dari segi fizikal. Sebab tu lah, orang Malaysia ni kena tunggu lama, berjam-jam. Tapi ini demi kebaikan kita juga ya. Kalau tak nanti jadi macam saya, kena tolak. Huhu.

Mutawwif kami cakap, peluang ke Raudhah ni ikut rezeki masing-masing. Kita perlu doa banyak-banyak supaya Allah permudahkan urusan, insyaAllah adalah peluang kita. Tak guna juga kita masuk dengan cara curi-curi, tolak-menolak, sebab takut juga kalau akhirnya kita berdosa.


Tawaf


Suasana sekita Baitullah selepas solat Subuh

Melakukan tawaf di Baitullah adalah sangat besar fadhilatnya. Tawaf ialah ibadat yang dah dilakukan malaikat sebelum manusia diturunkan ke Bumi lagi. Cuma malaikat bertawaf di Baitulmakmur, di langit, sementara kita melakukan di Baitullah (Kaabah) di Bumi.

Mutawwif kami cerita, semasa Allah hendak menjadikan manusia, malaikat berasa curiga tentang keputusan Allah tu. Kisah ini adalah dalam Al-Quran. Malaikat tanya, kenapa Allah nak jadikan manusia yang akan membuat kerosakan di muka bumi? Memang betul pun apa yang malaikat tanya, manusia ni memang akan merosakkan bumi. Allah membalas bahawa sesungguhnya Dia lebih tahu daripada malaikat. Kiranya di sini Allah dah marah malaikat sebab mempersoalkan tindakan-Nya, jadi malaikat pun bertaubat dan bertawaf di Baitulmakmur.

Tawaf ada banyak jenis. Tawaf umrah dan tawaf haji wajib dilakukan sebab ia adalah sebahagian daripada rukun umrah dan haji. Tawaf wida' wajib dilakukan sebelum meninggalkan Makkah. Tawaf sunat boleh dilakukan bila-bila masa sebagai tahiyyatul bait, iaitu cara kita untuk menghormati Baitullah. Biasanya di masjid lain kita akan Solat Sunat Tahiyyatul Masjid untuk menghormati masjid, di Masjidil Haram pula kita hormatinya dengan cara Tawaf Sunat.

Pada saya kalau waktu siang, masa terbaik untuk tawaf ialah  waktu dhuha. Dalam jam 7am-10am. Mungkin waktu ni ramai yang balik ke hotel masing-masing untuk mandi dan makan. Jadi tempat tawaf pun kosong lah sikit. Waktu ni juga orang kata mungkin senang sikit untuk masuk ke hijir ismail dan cium hajarul aswad.

Mengikut pemerhatian saya, waktu malam memang ramai orang tawaf. Mungkin sebab kurang panas, so orang pun suka. Saya rasa, waktu tengah-tengah malam mesti senang sikit nak tawaf sebab orang tidur kan. Tapi saya pun tidur jadi tak dapat nak bagi proper recommendation. Hehe. Yang saya tahu jam 2am (dalam 2 jam sebelum subuh masa musim panas) tak seramai time lepas maghrib dan isya'. Jadi tenang lah sikit nak beribadat.


Hijir Ismail dan Hajarul Aswad


Pada waktu dhuha dan waktu tengah malam, insyaAllah ada peluang untuk masuk ke Hijr Ismail. Hijr Ismail ni adalah sebahagian daripada Ka'bah. Pada asal-asalnya, masa Nabi Ibrahim dan Ismail bina Ka'bah, bentuk dia segi empat tepat. Tapi, lepas banjir di zaman Rasulullah s.a.w, Ka'bah dibina semula dalam bentuk segi empat sama, so pendek sedikit daripada yang asalnya. Jadi, bahagian yang dahulunya berada di dalam "kotak" Ka'bah tu kini berada di luar. Haa, jadi sesiapa yang masuk ke Hijr Ismail sebenarnya dah masuk ke dalam kawasan Ka'bah. InsyaAllah, doa di sini mustajab. Banyakkan solat sunat dan berdoa sekiranya berpeluang masuk. 

Nak masuk ke Hijr Ismail kena masuk dari Rukun Syamy ye. Sebab bahagian Rukun Iraqy ditutup. 

Bahagian-bahagian Kaabah


Nak cium Hajarul Aswad tu, mungkin sukar sikit walaupun pada waktu dhuha dan tengah malam, kecuali kalau sanggup bayar pada wanita-wanita Indonesia yang jadi roughnecks tolong bukakan laluan. Personally, saya tak nak, walaupun ada orang offer pada saya. Sebabnya, mengikut pengalaman kawan saya, diorang ni akan menolak jemaah lain dengan agresif supaya "client" diorang dapat jalan straight ke Hajarul Aswad. 

Lepas khidmat diorang pulak, diorang akan paksa korang bayar. Ada yang minta 100+ riyal. Selagi korang tak bayar, diorang akan ikut sampailah ke hotel. 

Mutawwif kami cakap, kalau nak tunggu tempat tawaf kosong, pergilah selepas sembahyang raya. Memang kosong, even polis yang jaga kaa'bah tu pun takde katanya. Haha.

Tapi macam mana pun, ini semua ialah rezeki masing-masing. Ada je orang yang tak dapat pertolongan roughnecks pun boleh dapat cium Hajarul Aswad juga. By the way, Hajarul Aswad sekarang sudah pecah tau. Dulu ia pernah dicuri dan dibawa ke Iran. Sekarang tinggal serpihan yang dicantum dan diletakkan dalam satu bekas logam. 

Air zam zam


Air zam- zam ada di mana-mana saja. Cari je tong air warna coklat. Kalau di Masjidil Haram, ada tempat yang air zam-zam dibekalkan direct dari pili air. Tapi kena tengok juga tau, ada pili air ni kasi air tapis biasa je, bukan air zam-zam. Baca je di sign board, kalau air zam-zam dia akan tulis zam-zam. Kalau bukan zam-zam dia akan tulis "Drinking water".

Setiap tempat bekalan air ni disertakan dengan cawan pakai buang. Di kanan cawan baru, di kiri ada ruang untuk cawan yang dah dipakai. Korang bayangkan kalau setiap jemaah minum sekali dan terus buang cawan tu, berapa juta agaknya sampah yang dihasilkan dalam satu tahun. Jadi, saya minta tolong, jagalah alam sekitar. Tolong guna semula cawan tu; lepas dah habis pakai, simpan lah dalam beg masing-masing. Nanti nak minum, pakai lah cawan lama tu, tak payah ambil cawan baru.

Dan saya nak bagi warning juga, ada orang yang lepas dah ambil cawan baru, dia minum dan simpan balik cawan yang dia dah pakai tu di ruangan cawan baru! Masa saya nampak tu saya macam... OMG! Geli pulak. Dah la campur lelaki perempuan tau. Dan tidak dilupakan juga orang dari pelbagai latar belakang, yang tak tahu lah ada Hepatitis ke, URTI ke, semuanya akan minum dari sumber air yang sama. So kalau diorang boleh buat perangai simpan cawan yang diorang pakai ke tempat simpan cawan baru, ada possibility orang seterusnya akan terminum cawan yang ada air liur orang lain :p

So, kalau nampak orang buat camtu, cepat-cepat lah buang cawan dia ke bahagian cawan yang dah dipakai. Dan kalau nak lebih bagus lagi, bawa bekas/cawan sendiri yang boleh dipakai banyak kali. Tapi pastikan bekas tu pendek je, otherwise tak muat nak letak bawah muncung tong air tu.

Nak pesan juga yang korang tak dibenarkan bawa botol air besar untuk isi air zam-zam dalam masjid. 500ml tu OK je. Tapi kalau bawa botol yang berliter-liter tu orang yang buat spot check beg akan halang korang masuk masjid dan suruh korang .ambik air zam zam di luar masijid.


Miqat




Miqat Bir Ali, berhampiran Madinah


Nak mendirikan umrah mesti niat ihram di Miqat. Miqat ni ada banyak dan setiap satunya ada masjidnya tersendiri, ada yang sangat cantik dan selesa, ada yang kurang menyenangkan keadaannya.

Saya punya personal favourite ialah Miqat Bir Ali lebih kurang 15km dari Madinah. Tempat dia besar, cantik dan bersih. Ruang solat besar dan ada aircond. Miqat Hudaibiyah, tempat wudhu dan toiletnya kurang selesa. Tapi ada banyak barang yang dijual murah-murah. Kurma Ajwa dijual 25-30 riyal sekilo. Miqat di Jaaranah kira lebih selesa berbanding dengan Hudaibiyah, juga ada banyak barang jualan tapi saya tak survey pulak. Miqat terdekat dengan Makkah ialah Miqat Tanaim, dalam 7km dari Tanah Haram Makkah. Boleh naik bas harga 2 riyal sehala, atau naik Uber/teksi dalam 50 riyal. 


Shopping


Yang ni saya rasa banyak dah blog lain cover. Generally, jubah perempuan bagus beli di Madinah, jubah lelaki beli di Makkah. Jubah perempuan paling murah dapat 100 riyal untuk 5 helai. Kat Makkah jubah lelaki paling murah saya jumpa pun 20 riyal. Tapi ikut kualiti lah ye. Makin cantik, makin kualiti, makin mahal.

Buah kurma sebenarnya lebih mahal kalau beli di ladang kurma. Parents saya beli kurma Ajwa 50 riyal sekilo. Tapi, di medan Uhud dan di tempat lain ada yang 25 - 30 riyal sekilo. Tapi kalau boleh beli di kawasan Madinah lah, sebab kebanyakan kebun kurma di Madinah.


Okay lah. Itu saja kali ini. Semoga bermanfaat :)

No comments:

Post a Comment